SEORANG penganggur maut ditikam selepas terlibat dalam pergaduhan berpunca daripada rokok elektrik vape berperisa mushroom, di Taman Muhibbah Merlimau di Jasin malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus selepas mangsa dan seorang rakannya dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sekumpulan individu.
“Salah seorang yang ditegur itu dipercayai berang dan menyerang kedua-dua mangsa menggunakan pisau manakala beberapa lagi suspek turut memukul mangsa menggunakan tangan.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Bezza sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Lee, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.26 petang tadi ketika menerima rawatan akibat parah ditikam di belakang badan sehingga menembusi paru-paru kanan.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Merlimau awal pagi tadi bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik selain tiga daripada mereka positif dadah methamphetamine,” katanya.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan kes termasuk pakaian dipercayai dipakai suspek serta sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


