POLIS menahan 10 individu dan menyita sejumlah 124 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Permatang Pauh, berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan di Butterworth malam tadi.
Dalam operasi itu, polis mengesan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan lokasi itu sebagai lokasi lumba haram setiap kali hujung minggu.
Selain menyita motosikal, sebanyak 639 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah memaklumkan, lapan individu ditahan mengikut Seksyen 42(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan berbahaya, manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi diketuai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Unit Rondaan Bermotosikal (EMPV) Bukit Aman, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) SPT, Polis Bantuan PLUS serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kawasan Jalan Permatang Pauh berhampiran susur keluar Permatang Pauh dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan penunggang motosikal berkumpul dan dipercayai melakukan aktiviti lumba haram serta samseng jalanan terutama pada hujung minggu,” kata kenyataan itu.
Dalam operasi itu juga, polis memeriksa 371 motosikal dan antara kesalahan dikesan adalah menunggang pada kelajuan tinggi, melawan arus, melakukan aksi ‘wheelie’ serta menggunakan ekzos yang diubah suai sehingga bising melampau.
Polis menasihati orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan dalam memastikan golongan remaja tidak terbabit dalam aktiviti yang boleh mengundang kemalangan, kecederaan serta kehilangan nyawa.
Polis katanya, akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.





