POLIS menyerbu sebuah premis menjalankan aktiviti penyimpanan barang sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen dan beroperasi secara haram di Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah di Bukit Mertajam pagi semalam.
Dalam serbuan jam 11.55 pagi itu, sebanyak 80 blok padat e-waste dan lapan beg jumbo mengandungi komponen komputer serta papan induk (motherboard) dianggarkan bernilai jutaan ringgit ditemukan dalam premis berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Norazizi Saad berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) kemudian mengambil kesemua sampel barangan itu untuk tujuan analisis dan pengesahan di bawah kod buangan terjadual.
“Serbuan Op Hazard ini dijalankan polis dari Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bersama JAS, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah dan beroperasi secara haram, selain digunakan sebagai stor penyimpanan serta pemprosesan bahan e-waste.
“Seramai 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazizi berkata, siasatan awal mendapati 10 tangkapan dipercayai melakukan kesalahan melanggar syarat pas, manakala seorang lagi disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua tahanan direman selama 14 hari bermula 7 hingga 20 Julai depan bagi siasatan lanjut bagi siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dalam operasi sama, MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap premis berkenaan kerana menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah.
“JAS pula menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.






