18 maut, puluhan cedera bas penumpang terjunam ke sungai di Nepal

SEKURANG-kurangnya 18 orang maut manakala lebih 24 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang yang dalam perjalanan dari Pokhara ke Kathmandu terjunam ke Sungai Trishuli di daerah Dhading, Nepal, awal pagi Isnin.

Bas yang membawa lebih 35 penumpang itu dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berhampiran Gajuri di sepanjang Lebuhraya Prithvi, kira-kira 90 kilometer ke barat Kathmandu, sekitar jam 1.15 hingga 1.30 pagi.

Lokasi nahas dikenal pasti di Chinadhara berhampiran Charaundi, dalam Wad 3, Benighat Rorang Rural Municipality.

Menurut Ketua Pejabat Polis Trafik Daerah Dhading, Shishir Thapa, jumlah kematian setakat ini meningkat kepada 18 orang, lapor The Kathmandu Post.

Jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Nepal, Bishnu Prasad Bhatta, berkata 17 mayat berjaya ditemui di lokasi kejadian, manakala 28 penumpang yang cedera berjaya dikeluarkan dari bas berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Penyelamat Lebuh Raya, Rajkumar Thakuri, memaklumkan semua mangsa yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan anggota tentera Nepal, pasukan polis bersenjata, Polis Nepal serta penduduk tempatan. Pihak berkuasa memaklumkan kejadian yang berlaku pada waktu malam menyukarkan operasi menyelamat.

Antara yang maut ialah seorang penumpang lelaki warga New Zealand. Dua lagi mangsa cedera membabitkan seorang wanita warga Jepun dan seorang wanita warga Belanda.

Polis memaklumkan punca sebenar nahas masih dalam siasatan, namun dipercayai bas berkenaan dipandu laju sehingga menyebabkan kemalangan. Maklumat lanjut masih ditunggu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img