SEBANYAK 273 isu baharu membabitkan pengurusan kewangan agensi Persekutuan dan Negeri serta syarikat kerajaan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, semua isu berkenaan boleh diakses secara terbuka melalui Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara berterusan.
“Bagi tempoh 2024 hingga Disember 2025, sistem ini menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.
“Daripada jumlah itu, RM221.52 juta adalah kutipan daripada agensi Persekutuan meliputi tuntutan penalti, tunggakan sewa, pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan AGD bukan sahaja meningkatkan ketelusan malah memberi impak langsung kepada pemulihan hasil kerajaan.
Sementara itu, laporan sama turut mendedahkan ketakteraturan serius membabitkan kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Wan Suraya berkata, isu itu dikenal pasti dalam Fokus Utama Audit yang mendapati perjanjian kerjasama yang dimeterai oleh UKM tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan selaras dengan peruntukan Perlembagaan universiti berkenaan.
LKAN 1/2026 dibentangkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan boleh diakses orang awam melalui laman web Jabatan Audit Negara mulai jam 10 pagi.


