2 kru maut helikopter bertembung di Greece

DUA kru helikopter pemadam kebakaran maut selepas pesawat itu bertembung di udara ketika operasi memadam kebakaran hutan yang melanda beberapa kawasan di Greece, semalam.

Jabatan Bomba Greece memaklumkan, dua helikopter jenis Bell yang disewa bertembung ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di kawasan Psatha, barat Athens.

“Juruterbang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun kematian mereka disahkan di hospital,” kata Pengarah Komunikasi Jabatan Bomba, Vassilis Vathrakogiannis, dalam kenyataan disiarkan menerusi televisyen.

Rakaman televisyen menunjukkan salah sebuah helikopter bertembung dengan bahagian bawah pesawat lain sebelum meletup dan terhempas ke tanah.

Kru helikopter kedua berjaya diselamatkan.

Ratusan anggota bomba kini berusaha mengawal kebakaran di barat Athens daripada merebak ke kawasan pinggir bandar selepas api marak di kawasan pergunungan sepanjang malam.

Stesen televisyen kerajaan ERT melaporkan semua helikopter jenis Bell di kawasan berkenaan diarahkan tidak beroperasi sementara siasatan dijalankan.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis berkata, dua mangsa yang maut ialah seorang warga Denmark dan seorang warga Greece.

Sebelum ini, Mitsotakis memberi amaran bahawa negara itu bakal berdepan ‘hari yang amat sukar’ susulan kebakaran hutan yang berlaku.

Nahas itu menjadikan jumlah kematian akibat kebakaran di Greece minggu ini meningkat kepada lima orang, selepas tiga anggota bomba maut dalam kejadian di Crete dan Peloponnese.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img