DUA maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan utility sukan (SUV) dan treler di Jalan Lestari Hijau 1, Taman Lestari Hijau, di Kulai malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.36 malam dan 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Pekan Nenas bergegas ke lokasi.
“Nahas membabitkan sebuah treler dan Proton X70 dinaiki lima mangsa dengan dua daripadanya ditemukan terperangkap dalam kenderaan SUV itu.
“Pasukan kemudian segera melakukan operasi mengeluarkan mangsa terperangkap dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fauzi berkata, tiga lagi mangsa cedera parah dan dihantar ke hospital manakala pemandu treler tidak cedera.
Katanya, operasi di tempat kejadian tamat kira-kira jam 10.15 malam.






