Perikatan Nasional adakan konvensyen minggu hadapan, jangka PRN Melaka lebih awal

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan konvensyen pada minggu hadapan bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di Melaka, yang dijangka berlangsung lebih awal daripada tempoh akhir penggal.

Pengerusi PN, Datuk Seri Samsuri Mokhtar berkata, gerak kerja persiapan telah digerakkan lebih awal termasuk turun padang ke Melaka bagi bertemu jentera parti komponen.

“Kita insya-Allah pada minggu depan Perikatan Nasional akan mengadakan konvensyen persiapan menghadapi pilihan raya terutama Melaka.

“Saya telah beberapa kali turun ke Melaka bukan sahaja bertemu jentera Pas, tetapi juga rakan-rakan daripada Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Kuala Terengganu hari ini, lapor HarakahDaily.

Katanya, PN kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya yang dijangka diadakan sebelum Oktober tahun ini, walaupun tempoh asal berakhir Disember 2026.

“Insya-Allah kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya di Melaka yang saya jangka diadakan sebelum Oktober tahun ini walaupun tempoh mereka hingga 27 Disember 2026 sebelum Dewan Undangan Negeri terbubar dengan sendiri tapi saya percaya mereka akan mengadakan lebih awal daripada itu,” ujarnya.

Mengulas persiapan jentera, beliau berkata PN memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi termasuk aspek jentera pilihan raya dan kewangan.

“Jadi kita bersedia dari sekarang termasuk dari segi jentera, dari segi persediaan akar umbi kita dan sebagainya insya-Allah,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya PN akan ditolak rakyat jika berlaku krisis dalaman berterusan, beliau menyifatkan ia sekadar pandangan peribadi pihak tertentu.

“Itu pandangan peribadi. Tapi yang penting kita ingin bergerak ke hadapan dan tentunya kita perlu menyelesaikan apa jua ketidakfahaman atau salah faham yang wujud dalam Perikatan Nasional,” jelasnya.

Menurut Samsuri, PN telah menetapkan beberapa pelan tindakan hasil mesyuarat terdahulu bagi memperkukuh parti dan memastikan ia kekal sebagai pilihan alternatif kepada rakyat di peringkat Persekutuan.

“Saya percaya hasil daripada mesyuarat yang pertama itu kita telah meletakkan beberapa mercu tanda dan milestone yang perlu kita capai untuk memperbetulkan langkah meletakkan Perikatan Nasional di atas landasan yang sebenarnya untuk kita menjadi pilihan ataupun true alternatif untuk menggantikan kerajaan yang ada di peringkat Persekutuan,” katanya.

.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img