2 rakyat Malaysia cedera terkena letupan bom di Takbai

DUA rakyat Malaysia cedera akibat terkena letupan bom ketika menaiki sebuah kenderaan di Ban Praiwan, Takbai di Narathiwat pagi ini.

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 11.41 pagi ketika kedua-dua mangsa berusia 38 dan 45 tahun menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50.

ANGGOTA penyelamat membantu dua rakyat Malaysia yang cedera selepas terkena letupan bom di Ban Praiwan, Takbai di Narathiwat pagi ini. GAMBAR tular

Katanya, maklumat awal mendapati kejadian letupan mengakibatkan kenderaan dinaiki itu turut mengalami kerosakan dan dua rakyat Malaysia cedera.

“Hasil siasatan awal dipercayai pengganas menyasarkan letupan bom tersebut ke atas kenderaan yang dinaiki anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Sungai Golok, wilayah Narathiwat dalam perjalanan balik selepas tamat kursus,” kata sumber itu.

Difahamkan, mangsa yang berusia 38 tahun berasal dari Sabah merupakan pemilik Proton X50 berkenaan manakala mangsa kedua berusia 45 tahun berasal dari Kelantan.

Akibat letupan tersebut, kedua-dua lelaki berkenaan telah dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak berkuasa untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Golok dan Takbai, Amin Mat Yusof berkata, ketika kejadian berlaku letupan bom di laluan di mana mangsa yang menaiki Proton X50 secara kebetulan melalui lokasi berkenaan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan dan kini dihantar ke Hospital Narathiwat untuk rawatan lanjut.

“Kenderaan mangsa juga turut mengalami kerosakan akibat letupan bom berkenaan,” katanya.

Ketika ini dimaklumkan pihak berkuasa sedang mengawal kawasan kejadian serta menjalankan pemeriksaan di lokasi letupan.

Laluan di kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya, bermula dari persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu, Daerah Takbai bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi media mengesahkan pihaknya menerima maklumat rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan Malaysia cedera terkena letupan bom.

“Saya tidak tahu maklumat lanjut sama ada bom berkenaan dipasang di kenderaan atau berada di tepi jalan.

“Polis Kelantan menasihatkan orang ramai agar menangguhkan seketika perjalanan ke selatan Thailand khususnya di wilayah Narathiwat,” katanya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img