KEGAGALAN mempamerkan tanda amaran larangan penjualan produk merokok kepada individu bawah umur membawa padah apabila pemilik sebuah kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuaal Berang, hari ini.
Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Mazni Abdul Ghani selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, OKS selaku pemilik sebuah kedai runcit di Kampung Landas, Hulu Terengganu didapati gagal mempamerkan tanda amaran larangan penjualan produk merokok kepada individu berusia bawah 18 tahun di premis perniagaannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 20 Ogos tahun lalu kira-kira jam 11.30 pagi.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 7(1).
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang Kechik manakala OKS diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).





