KETUA Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (KSAL) Laksamana TNI Muhammad Ali mengesahkan seramai 23 anggota Kor Marinir TNI AL (Angkatan Laut) telah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Sabtu
Setakat ini, empat anggota TNI AL ditemui dalam keadaan meninggal dunia. Muhammad Ali turut memaklumkan bahawa usaha mencari anggota yang masih belum ditemui sedang diteruskan.
Namun begitu, jentera berat masih belum dapat memasuki lokasi kejadian berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan serta laluan jalan yang sempit. Oleh itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan menggunakan beberapa teknologi dalam proses pencarian, iaitu drone (pesawat tanpa pemandu), kamera terma bagi mengesan haba tubuh (suhu), serta anjing pengesan.
“Dengan keizinan Bapak Menteri Pertahanan dan Bapak Panglima, saya ingin menyampaikan berhubung kejadian bencana alam yang berlaku di Jawa Barat, di Desa Soreang, sememangnya terdapat 23 anggota marinir yang tertimbus akibat tanah runtuh,” kata Muhammad Ali pada sidang media di Kompleks Senayan, Jakarta, hari ini seperti dipetik di saluran YouTube KompasTV.
“Setakat ini, baru empat anggota ditemui dalam keadaan meninggal dunia dan selebihnya masih belum ditemukan. Usaha pencarian masih diteruskan.”
“Sehingga kini, jentera berat memang belum dapat masuk disebabkan keadaan cuaca dan jalan yang sempit, namun kami akan terus melaksanakan pencarian menggunakan teknologi, termasuk drone, kamera terma serta anjing pengesan.”
KSAL Laksamana Muhammad Ali turut mendedahkan bahawa ke-23 anggota Marinir tersebut tertimbus ketika sedang menjalani latihan persediaan penugasan bagi pengamanan perbatasan Republik Indonesia–Papua New Guinea (RI–PNG).
Ketika kejadian, hujan lebat selama dua malam berturut-turut, yang mengakibatkan tanah runtuh dan menimpa sebuah kampung, lokasi tempat anggota TNI AL tersebut menjalani latihan.
“Memang mereka sedang melaksanakan latihan pra-penugasan untuk dihantar melaksanakan tugas pengamanan perbatasan RI–PNG. Latihan dijalankan di kawasan itu, dan pada ketika tersebut keadaan memang hujan lebat hampir dua malam tanpa henti.
“Mungkin itulah yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Kejadian itu menimpa penduduk sebuah kampung, dan kebetulan terdapat anggota kami yang sedang menjalani latihan di sana,’’ katanya.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Marsyal Madya M. Syafii, memaklumkan bahawa keadaan cuaca dan material runtuhan menjadi kekangan utama dalam proses pemindahan dan pencarian mangsa.
“Pertama, kami sangat bergantung kepada keadaan cuaca. Kedua, keadaan runtuhan masih berupa lumpur, sekali gus menyukarkan proses pencarian,” kata Syafii dalam kenyataan.


