SEBANYAK 23 ahli kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di Sarawak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.
Kesemua tertuduh berusia antara 19 hingga 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga hakim Mahkamah Sesyen.
Prosiding berkenaan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 3, Musli Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Sesyen 2, Noorhisham Mohd Jaafar dan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng 24 Hung-Hung’.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang dikenali sebagai Op Pusak Merah, lapor BH.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2021 hingga 20 April 2026 di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Temaga Cina/Dayak, Sematan, dalam daerah Lundu.
Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Maryam Jamielah Ab Manaff.
Seramai 22 tertuduh diwakili barisan peguam terdiri daripada Hani Iriani Bonny, Datuk Shankar Ram, Ralph Lee, Daniel Ling dan Patrick Voon, manakala seorang lagi tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuching bagi tindakan lanjut.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai berikutan dakwaan pembabitan kumpulan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di beberapa kawasan di Sarawak sejak beberapa tahun lalu.


