SEORANG pesara renjer hutan ditahan kerana menyimpan pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi bernilai lebih RM550,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Tuaran, pagi ini.
Serbuan jam 7.15 pagi itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Kampung Wokok Batangan, Jalan Timbok, Tuaran.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 60 tahun yang juga pesara renjer hutan.
“Hasil serbuan itu, pelbagai bahagian hidupan liar yang dilindungi dirampas antaranya 55 pasang disyaki tanduk rusa, tiga batang sumbu badak, satu bangkai ular sawa, enam kulit ular sawa, satu tengkorak burung enggang, empat unit tulang disyaki tulang gajah dan dua unit gigi gajah.
“Turut dirampas, empat unit tanduk gajah, dua tengkorak babi hutan, tiga pasang tanduk tambadau, satu tengkorak beruang, satu tengkorak gajah, dua hempedu beruang, 330 keping sisik tenggiling, dua pasang taring babi hutan dan enam pasang tanduk kijang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan sitaan dan rampasan dianggarkan RM589,230, manakala nilai sebenar rampasan dianggarkan RM550,100.
“Soal siasat mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan itu dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah, selain mengambil mana-mana bahagian haiwan yang ditemukan untuk dijadikan koleksi peribadi,” katanya.
Mohd Zaki berkata, aktiviti pengumpulan bahagian haiwan liar dilindungi itu dipercayai bermula ketika suspek berkhidmat sebagai renjer hutan sejak 1986 sebelum bersara atas faktor kesihatan pada 2019.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, manakala hasil rampasan diserahkan kepada JHL Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.


