JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengenakan saman terhadap 29 penumpang bas ekspres kerana enggan memakai tali pinggang keselamatan menerusi Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026.
Pengarahnya, Jasyindar Singh Sidhu berkata, dalam operasi bermula 24 Mei hingga 31 Mei itu, sebanyak 106 saman dikeluarkan menerusi teknik penyamaran sebagai penumpang bas berkenaan.
“JPJ mempelbagaikan kaedah penguatkuasaan bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan ditetapkan, antaranya anggota penguat kuasa menyamar sebagai penumpang.
“Ia bagi memastikan pemandu kenderaan perkhidmatan awam ini peka dan patuh kepada peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, melalui kaedah penguatkuasaan itu, sebanyak 77 notis saman dikeluarkan kepada pemandu bas yang melanggar peraturan.
“Kesalahan paling tinggi yang dikesan adalah memandu di lorong kanan secara berterusan (21), diikuti abai isyarat lalu lintas (16) dan memandu lebih daripada jarak 300 kilometer (12).
“Dalam masa sama sebanyak 29 notis saman dikeluarkan kepada penumpang yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang tempat duduk belakang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan itu, pihaknya memeriksa sebanyak 14,150 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,673 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Manakala sebanyak 73 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh penguatkuasaan ini iaitu 71 disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dua lagi disita mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.
Katanya, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.


