KEMELUT pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan berjaya diselesaikan, sekaligus memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu susulan pertemuan pimpinan tertinggi antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) semalam.
“Selepas pertemuan pimpinan tertinggi kedua-dua pihak, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal mentadbir dengan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Sebarang isu berbangkit akan dirujuk kepada pimpinan utama antara parti-parti komponen bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai secara bersama,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.


