3 maut dalam kemalangan di Rompin ketika pulang dari kenduri kahwin

TIGA  termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala empat lagi cedera selepas sebuah kereta dan pacuan empat roda bertembung di KM142 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Bukit Serok, Bandar Tun Abdul Razak,Rompin semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima laporan pada 4.46 petang Ahad.

Menurutnya, kereta dinaiki seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah, Rompin.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit bertembung pacuan empat roda dipandu seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Akibat kemalangan itu, seorang wanita tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam mangsa termasuk pemandu pacuan empat roda yang cedera dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.

Jurucakap itu berkata, dua mangsa membabitkan seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan.

Sementara itu, Polis mengesahkan mereka yang maut ialah  Aida Asmalia Abu Samah,46, dan dua lagi penumpang, Chempaka Alara Azizi, 3, dan penuntut Kolej Matrikulasi Gambang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata pemandu kereta tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Menurutnya, ketika kejadian kereta dipandu Aida Asmalia dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin di Alor Gajah, Melaka.

Siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan lalu bertembung pikap dari arah bertentangan dipandu lelaki berusia 32 tahun.

“Kemalangan itu, turut menyebabkan tiga penumpang kereta dan pemandu pikap cedera,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa cedera ialah anak pemandu kereta, Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14, dan Siti Adawiya Syauqina, 13, adik kepada Siti Auni Syafiqa serta Amelia Kartika Mappatata, 32, ibu Chempaka Alara.

Semua mangsa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Pemandu pikap turut cedera dan dirawat di Hospital Muadzam Shah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img