4 tentera Kanada terbunuh, 39 cedera dalam kebakaran ketika latihan tempur guna peluruh hidup

EMPAT anggota tentera Kanada maut manakala 39 orang cedera, termasuk 19 dalam keadaan kritikal, selepas kebakaran marak dengan pantas ketika latihan tempur menggunakan peluru hidup di sebuah pangkalan tentera di Alberta, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Mejar Jeneral Wade Rutland berkata, pihak tentera telah mengetahui mengenai kebakaran itu selama beberapa jam, namun menyangka api masih terkawal dan latihan boleh diteruskan sebelum perubahan arah angin secara tiba-tiba menyebabkan api merebak pantas ke arah anggota tentera.

“Kebakaran itu berada satu kilometer jauhnya ketika arah angin berubah. Bukan perkara biasa bagi api bergerak sejauh satu kilometer dalam tempoh 36 saat,” katanya pada sidang media, lapor media tempatan.

Rutland berkata, seorang komander di lokasi memaklumkan bahawa anggota tentera beralih daripada keadaan tidak melihat api kepada berdepan kepungan api dalam tempoh kurang seminit.

Kebakaran berlaku pada Sabtu ketika latihan tempur berintensiti tinggi membabitkan Kompeni Charlie, Batalion Ketiga, Rejimen Infantri Ringan Kanada Princess Patricia.

Kira-kira 84 anggota tentera dibahagikan kepada dua kumpulan, masing-masing di kawasan latihan balingan bom tangan dan kawasan latihan menyerang kedudukan musuh yang disimulasikan.

Sementara itu, Premier Alberta, Danielle Smith, berkata 39 mangsa sedang menerima rawatan perubatan.

Ketua Eksekutif Acute Care Alberta, Sayeh Zielke, berkata 19 mangsa berada dalam keadaan kritikal, lapan stabil manakala 12 lagi masih boleh bergerak sendiri dan menerima rawatan bagi kecederaan yang kurang serius.

Smith berkata, sebahagian mangsa mengalami kelecuran parah dan mungkin memerlukan rawatan intensif selama beberapa minggu atau bulan.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan kejadian itu sebagai antara tragedi masa aman paling buruk yang menimpa tentera Kanada di dalam negara.

Beliau mengarahkan bendera di bangunan kerajaan persekutuan di seluruh negara dikibarkan separuh tiang.

Carney berkata, keluarga semua anggota yang terkorban telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here