DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah pun mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan.
Perdana Menteri berkata, kebakaran hutan dan lahar di Indonesia yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan tersebut harus ditangani dengan tekad dan tanggungjawab bersama atas semangat kebersamaan serta hubungan akrab negara tetangga.
‘’Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini. Semangat kejiranan yang sebenar menuntut kita untuk saling mendukung tatkala berdepan musibah, dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau sentiasa menjadi keutamaan,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan masalah itu yang turut mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.
‘’Saya memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan yang semakin membimbangkan ini,’’ katanya.
Bagaimana kata beliau Malaysia sedar usaha menangani bencana sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu.





