RM1.497 juta bantu 11 institusi pendidikan Islam di Terengganu

SEBANYAK 11 institusi pendidikan Islam dan sekolah tahfiz di Terengganu menerima peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan infrastruktur serta kemudahan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh institusi pendidikan, termasuk sekolah agama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan generasi muda.

Daripada jumlah berkenaan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut dan Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan di Dungun menerima peruntukan tertinggi, masing-masing sebanyak RM200,000.

Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Serada pula menerima RM170,000, diikuti Madrasah Darul Iman (RM150,000) dan Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT), Padang Midin sebanyak RM140,000.

Al Madrasah Al Fathoniyyah Lil Ulum Ad Diniyyah menerima RM127,000, manakala Pusat Tahfiz Al-Quran Gong Bayor diperuntukkan RM110,000.

Empat lagi institusi masing-masing menerima RM100,000, iaitu Madrasah STC, Pusat Tahfiz Anak Yatim Al Sidiqi, Sekolah Menengah Darul Furqan dan Madrasah Hafizah Ummul Khair.

“Pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan apabila sektor itu terus menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan negara setiap tahun.

“Peruntukan pendidikan menerusi Belanjawan 2027 meningkat kepada RM69 bilion berbanding RM66.27 bilion tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bantuan pendidikan kepada pelajar perlu disertai tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak hadir ke sekolah supaya kemudahan berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran.

“Jadi saya beri kuasa penuh kepada Guru Besar dan guru-guru untuk memastikan anak-anak hadir ke sekolah sebelum bantuan diberikan.

“Kalau anak tidak hadir ke sekolah, bagaimana kita hendak membantu mereka. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan aktiviti kerohanian seperti solat Subuh dan solat Duha dalam membentuk generasi yang berakhlak serta bertakwa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here