SEBANYAK 6,724 pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai skim perkhidmatan diluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) serta gred 10 hingga gred 15 oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) pada 13 Okt lepas.
KKM dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk menghargai komitmen, dedikasi dan pencapaian pegawai dalam memastikan kelancaran operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Selaras dengan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), LKPPA juga telah meluluskan Kriteria Kecemerlangan Kenaikan Pangkat Tanpa Kekosongan Jawatan Bagi Skim Perkhidmatan Pengajar KKM.
“Kelulusan ini memberi peluang kepada pegawai terlibat menikmati laluan kemajuan kerjaya yang lebih baik,” kata KKM.
Selain itu, KKM turut merakamkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan empat pegawai KKM yang berkhidmat sebagai anggota Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) dan maut dalam nahas helikopter ketika menjalankan tugas pada 8 Sept lepas.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan, keempat-empat pegawai tersebut telah diluluskan kenaikan pangkat secara anumerta (posthumous).
“KKM percaya bahawa pengiktirafan seperti ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan serta memperkukuh semangat pegawai KKM untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi sistem kesihatan negara yang berkualiti, mampan dan responsif,” menurut KKM.
KKM juga akan terus meneliti dan melaksanakan langkah penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan serta pembangunan kerjaya pegawai KKM sentiasa diberi perhatian sewajarnya.





