MESKIPUN berdepan sekatan ketat Israel, kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat sempena Ramadan di Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis, dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan seramai 80,000 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa, lapor Anadolu Ajansi.
Polis Israel ditempatkan secara beramai-ramai di sekitar pekarangan masjid dan di seluruh Kota Lama Baitulmuqaddis serta lorong-lorongnya sebelum waktu solat.
Pihak polis berkata, seramai 3,000 anggota dikerahkan ke seluruh Timur Baitulmuqaddis pada Jumaat.
Langkah itu seiring dengan sekatan Israel terhadap rakyat Palestin yang dalam perjalanan dari Tebing Barat yang diduduki ke bandar itu.
Saksi memberitahu Anadolu bahawa tentera Israel menyekat beribu-ribu jemaah di pusat pemeriksaan di sekitar Timur Baitulmuqaddis, sekali gus menghalang mereka daripada sampai ke masjid.
Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis Palestin, berkata beribu-ribu penduduk Tebing Barat bersesak di pusat pemeriksaan Qalandia, namun pihak berkuasa Israel menafikan kemasukan mereka dengan mendakwa bahawa “kuota 10,000 orang untuk hari Jumaat telah dipenuhi.”
Saluran 12 Israel melaporkan bahawa kepimpinan politik Israel meluluskan rancangan pada Rabu lalu yang membenarkan sehingga 10,000 jemaah Palestin dari Tebing Barat memasuki Al-Aqsa untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan.
Di bawah rancangan itu, rakyat Palestin dari Tebing Barat mesti mendapatkan permit harian khas terlebih dahulu bagi setiap waktu solat.
Akses dari Tebing Barat dihadkan kepada lelaki berusia 55 tahun ke atas, wanita berusia 50 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang ditemani saudara terdekat, menurut Saluran 12.
Tentera Israel berkata, semua permit memerlukan “kelulusan keselamatan terlebih dahulu” dan jemaah mesti melengkapkan prosedur pengesahan digital di lintasan sempadan apabila kembali ke Tebing Barat.


