Kes 5 sekeluarga maut mungkin terkait kesihatan mental – Exco Pahang

KES bunuh membabitkan lima sekeluarga di Taman Cherating Damai, Kuantan pada Selasa lalu berkemungkinan berkait dengan masalah kesihatan mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan menegaskan, perkara itu memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa.

“Kepada semua, kita perlu bersabar. Apa jua cabaran yang kita hadapi, marilah kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Kita boleh mendapatkan rawatan. Di bawah unit saya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Jabatan Pembangunan Wanita sedia memberikan bantuan,” katanya dipetik portal berita Pahang Media hari ini.

Terdahulu, Sabariah melawat waris keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri di Taman Cherating Damai.

Beliau turut menggesa komuniti setempat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau hospital sekiranya mendapati individu menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental.

Sabariah menyifatkan kejadian itu amat menyayat hati, lebih-lebih lagi ia berlaku pada awal Ramadan yang sepatutnya dihayati dengan penuh makna dan keinsafan.

“Kita tentu tidak mahu tragedi seperti ini berlaku, namun apabila ia terjadi, kita mesti kekal kuat dan bersabar,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun, satu-satunya saksi kejadian itu masih trauma dan kembali tinggal bersama bapa kandungnya di Kemaman, Terengganu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam turut berkenan bertemu ahli keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa dukacita dan kecewa yang mendalam terhadap kejadian berkenaan serta menyeru orang ramai sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mendedahkan kematian lima mangsa itu mungkin didorong oleh masalah kewangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suspek yang merupakan seorang pengawal keselamatan dipercayai membunuh ahli keluarganya sebelum bertindak menamatkan riwayat hidup sendiri di rumah setingkat mereka di Taman Cherating Damai.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img