SEBANYAK 880 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi pengambilan 2025 akan ditawarkan pelantikan sebelum tempoh sah laku mereka tamat pada 14 Disember ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi merungkai isu itu.
Menurut KPM, setakat ini, seramai 3,537 daripada keseluruhan 4,417 calon simpanan bagi pengambilan 2025 telah pun menerima surat tawaran pelantikan masing-masing.
“Selepas selesai urusan pelantikan, KPM akan membuat penempatan berdasarkan kekosongan tempat dan opsyen yang sesuai,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
KPM berkata kementerian itu sentiasa cakna terhadap keluh-kesah calon simpanan terlibat dan menyifatkan keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat serta minat mereka dalam bidang pendidikan.
Pelantikan calon simpanan pengambilan 2025 sebelum ini dilaksanakan secara berperingkat bagi menampung kekosongan guru di seluruh negara, termasuk melibatkan penyerapan 2,633 calon daripada pelbagai opsyen yang diumumkan pada Jun lalu.
Awal tahun ini, KPM turut memberi jaminan bahawa langkah kerajaan mengambil 20,000 guru secara lantikan kontrak (CoS) tidak akan menjejaskan peluang calon simpanan sedia ada dalam senarai SPP yang masih menunggu giliran pelantikan.





