Dua lelaki ditemukan rentung selepas kereta Proton Saga BLM dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Wira berhampiran tempat cuci kereta Projek Kilat, Jalan Jaya Diri, Batu Pahat, malam tadi.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Penolong Penguasa Bomba Norhisam Abdul Talib berkata, kejadian kira-kira jam 8 malam itu membabitkan empat mangsa dalam kedua-dua kenderaan.
Katanya, Proton Wira dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 61 tahun, manakala Proton Saga BLM membawa dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 17 tahun.
“Dua lelaki yang menaiki Proton Saga BLM tersepit dan rentung di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa yang tersepit dalam Proton Wira dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk diberikan rawatan awal.
“Dua mangsa rentung pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas berjaya dikeluarkan sebaik api dipadamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhisam berkata, identiti kedua-dua mangsa yang rentung serta nombor pendaftaran Proton Saga BLM masih belum dikenal pasti.





