9 juta rakyat terima manfaat STR, SARA tahun ini – Amir Hamzah

SEBANYAK sembilan juta penerima di seluruh negara kini mendapat manfaat daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan kedua bantuan itu pada tahun ini berbanding RM10 bilion pada 2024.

Bagi Sarawak pula katanya, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk hampir 900,000 penerima STR dan SARA di negeri itu.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan menyediakan 20 lokasi di Sarawak dan 17 lokasi di Sabah bagi memudahkan penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank menuntut bantuan secara tunai.

Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada golongan sasar termasuk penduduk luar bandar dan warga emas yang menghadapi kesukaran mengakses perkhidmatan perbankan.

“Setakat ini, program berkenaan sudah dilaksanakan di 15 lokasi di Sarawak dan lima lagi lokasi akan dilaksanakan minggu depan.

“Penerima STR tanpa akaun bank juga boleh membuat tuntutan bantuan secara tunai di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara,” katanya selepas Program Penunaian STR dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Mini (Mini-MCS), di Lundu, Sarawak hari ini lapor BH.

Amir Hamzah berkata, selain STR, penerima yang layak turut menerima SARA iaitu bantuan bulanan untuk membeli barangan keperluan harian di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Sarawak mencatat prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan SARA apabila 99 peratus penerima menggunakan MyKad untuk membuat pembelian di premis berdaftar.

“Ini membuktikan mekanisme SARA berasaskan MyKad adalah mudah, selamat dan berkesan, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya, nilai kredit SARA yang diterima penerima adalah antara RM600 hingga RM2,400 setahun mengikut kategori kelayakan dan boleh mencecah RM2,500 termasuk SARA Penghargaan yang disalurkan secara sekali bayar.

Sementara itu, katanya, jumlah Rakan Niaga SARA di seluruh negara meningkat kepada 13,491 premis setakat 16 Jun lalu berbanding hanya 700 premis pada 2024.

Mengenai Mini-MCS, Amir Hamzah berkata, program yang menghimpunkan 11 agensi kerajaan itu akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan dan perkhidmatan kerajaan dengan lebih cepat dan berkesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img