DALAM satu temu bual Mohamed Salah mendedahkan hubungannya dengan Arne Slot telah retak dan mendakwa ada individu di Liverpool yang tidak mahukannya lagi di kelab itu.
Bintang Liverpool tersebut yang menandatangani kontrak baharu pada penghujung musim lalu, memberitahu wartawan selepas keputusan seri 3-3 menentang Leeds United bahawa dia tidak percaya dirinya diletakkan di bangku simpanan untuk kali ketiga berturut-turut dan langsung tidak diturunkan sepanjang perlawanan.

“Saya telah melakukan begitu banyak untuk kelab ini sepanjang tahun dan terutamanya pada musim lalu. Sekarang saya duduk di bangku simpanan dan saya tidak tahu kenapa. Nampaknya kelab telah ‘melemparkan saya ke bawah bas’. Itu yang saya rasa. Saya rasa sangat jelas seseorang mahu saya dipersalahkan.
“Saya mendapat banyak janji pada musim panas lalu tetapi setakat ini saya berada di bangku simpanan selama tiga perlawanan, jadi saya tidak boleh kata mereka menunaikan janji.
“Saya telah banyak kali katakan bahawa saya mempunyai hubungan baik dengan pengurus dan secara tiba-tiba, kami sudah tiada hubungan. Saya tidak tahu kenapa, tetapi bagi saya, seolah-olah ada seseorang yang tidak mahukan saya di kelab ini,’’ katanya.
Salah akan menyertai Piala Negara-Negara Afrika bersama Mesir pada 15 Disember dengan perlawanan menentang Brighton di Anfield Sabtu depan menjadi aksi terakhirnya bersama Liverpool sebelum kejohanan piala tersebut bermula.
Namun, beliau memberi bayangan ia mungkin menjadi perlawanan terakhir dalam kariernya bersama Liverpool.
“Saya berkata kepada keluarga saya, datanglah ke perlawanan menentang Brighton. Saya tidak tahu sama ada saya akan bermain atau tidak tetapi saya akan menikmatinya. Dalam fikiran saya, saya mahu menikmati perlawanan itu kerana saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
“Saya akan berada di Anfield untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong sebelum pergi ke Piala Afrika. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku ketika saya berada di sana,’’ katanya.


