DUA kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Santubong, Sarawak sejak pagi semalam telah ditemukan selamat.
Kedua-dua kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan kesejukan oleh penduduk di hujung kampung tersebut pagi hari ini.
Berita penemuan mereka disahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri sebentar tadi.
“Alhamdulilah, dua kanak-kanak perempuan yang hilang di Kampung Pasir Pandak sejak semalam telah selamat dijumpai sebentar tadi.
“Kamek (saya) turut dapat bersama dengan mereka. Kamek nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sejak semalam terutamanya pihak anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), BOMBA dan penduduk kampung Pasir Pandak,” tulisnya dalam hantaran di Facebook beliau.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu ditemui sekitar jam 9.20 pagi, tidak jauh dari kawasan hutan kecil berhampiran kampung berkenaan.
“Kedua-duanya ditemui dalam keadaan lemah tetapi selamat. Tiada kecederaan serius dilaporkan. Mereka dipercayai tersesat selepas bermain dan berjalan terlalu jauh dari kawasan rumah nenek mereka,” katanya.
Semalam media melaporkan kehilangan mangsa selepas pergi bermain bersama sepupu di rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.
Pada pukul 11 pagi, bapa salah seorang mangsa menyedari mereka tidak berada di kawasan permainan.
Usaha pencarian awal oleh keluarga di sekitar kampung tidak menemui sebarang petunjuk.
Kedua-duanya kini dibawa ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan.


