SEORANG warga emas cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan merempuh gerai makan di Kampung Kuala Pahang, Pekan, Pahang hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7:30 pagi, ketika lelaki berusia 74 tahun terbabit dalam perjalanan dari rumah di Kampung Bentan ke Kampung Kuala Pahang.
Menurutnya, lapan anggota BBP Peramu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kemalangan itu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi bomba mendapati mangsa terperangkap dalam kenderaan sudah dikeluarkan orang awam.
“Kemalangan itu menyebabkan MPV dipandu warga emas itu terbalik dan mangsa cedera di kepala serta tangan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Wan Samsul Effendi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan.
Menurutnya, ketika kejadian tiada peniaga dan pelanggan di gerai makan itu.
Katanya, warga emas itu bekerja sebagai penjual sayur dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat dia berniaga.


