POLIS Indonesia menahan seorang pengarah sebuah yayasan yang memperjuangkan hak asasi manusia kerana disyaki menghasut pelajar melakukan tindakan ganas ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (Parlimen), Jakarta.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya Jakarta, Ade Ary Syam Indradi berkata, Delpedro Marhaen ditahan selepas pasukan penyiasat menemukan bukti yang mencukupi berkaitan tindakan provokasi bagi mencetuskan kekacauan.

Beliau berkata, Delpedro Marhaen dipercayai menghasut dan melakukan provokasi di sekitar Kompleks Parlimen dan beberapa kawasan lain di Jakarta.
‘’Dia melakukan tindakan tersebut sejak 25 Ogos lalu. Malah dia juga mengajak pelajar dan budak di bawah umur 18 tahun melakukan kekaauan,.
“Tindakan itu adalah perbuatan jenayah kerana menghasut untuk melakukan atau menyebarkan maklumat yang diketahui boleh mencetuskan kerusuhan dan meresahkan masyarakat,’’ katanya.
Ade Ary memberitahu, apa yang dilakukan oleh Delpedro Marheaen bukan untuk melakukan demonstrasi damai tetapi provokasi sehingga polis menahannya pada pukul 10.45 malam (11.45 malam waktu Malaysia).
Sementara itu beberapa NGO Indonesia menganggap penahan Delpedro melanggar prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
“Delpedro Marhaen adalah warga negara yang memiliki hak Perlembagaan untuk bersuara, berpendapat, dan mengemukakan fikiran secara damai. Penangkapan terhadap dirinya bukan hanya satu jenayah, tetapi juga menghalang kritikan,’’ kata satu kenyataan.


