Israel akan rampas rumah,kedai milik rakyat Palestin di Kota Lama Jerusalem

SIKAP ganas Israel terhadap rakyat Palestin tidak pernah berakhir dan mungkin tidak akan berakhir apabila dalam langkah terbaru Kerajaan Zionis itu meluluskan rancangan untuk merampas rumah dan kedai milik rakyat Palestin di sepanjang Jalan Chain, yang dikenali penduduk tempatan sebagai Jalan Bab al-Silsila, di Kota Lama Jerusalem pada Ahad. Langkah itu menjadi rampasan berskala besar pertama di kawasan berkenaan sejak 1967.

Keputusan tersebut mengesahkan arahan yang ditandatangani hampir 10 bulan lalu oleh menteri warisan Israel. Ia menyasarkan hartanah berhampiran bahagian barat kawasan Al-Aqsa Mosque dan dijangka menyebabkan puluhan penduduk asal Palestin serta pemilik kedai diusir.

Menurut Gabenor Palestin bagi Jerusalem, pelan itu bertujuan merampas bangunan milik Palestin di kawasan kejiranan Bab al-Silsila, salah satu laluan bersejarah utama menuju ke Masjid Al-Aqsa di dalam Kota Lama.

Radio Tentera Israel melaporkan awal minggu ini bahawa jalan berkenaan mungkin akan dimasukkan ke dalam kawasan yang dipanggil “Jewish Quarter” selepas undian kerajaan diluluskan. Pihak berkuasa Israel menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh “kedaulatan” Israel di kawasan terbabit.

Keputusan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Palestin dan peniaga tempatan, yang kebanyakannya telah tinggal dan berniaga di kawasan itu sejak beberapa generasi. Kawasan berkenaan terletak hanya beberapa meter dari Masjid Al-Aqsa Moserta mempunyai kepentingan agama, sejarah dan politik yang besar.

Walaupun aktiviti penempatan Israel di kawasan berhampiran telah wujud  selama beberapa dekad, kawasan kejiranan itu masih mengekalkan kehadiran Palestin yang kuat. Balai polis Israel, penempatan peneroka dan kawasan Dataran Al-Buraq kini sudah mengelilingi sebahagian kawasan yang disasarkan.

Pentadbiran Gabenor Jerusalem menyifatkan rancangan itu sebagai “eskalasi penjajahan berbahaya” yang menyasarkan jantung Kota Lama. Ia memberi amaran bahawa langkah tersebut boleh membuka jalan kepada fasa baharu pemindahan paksa dan kawalan Israel yang lebih ketat terhadap hartanah bersejarah Palestin.

Pihak berkuasa Palestin menegaskan bahawa Bab al-Silsila merupakan salah satu pintu masuk paling penting ke Masjid Al-Aqsa. Mereka berkata sasaran terhadap kawasan itu membawa dimensi politik dan agama yang jauh melangkaui pertikaian hartanah semata-mata.

Anggaran menunjukkan antara 15 hingga 20 kedai dan hartanah kediaman berdepan risiko dirampas sekiranya pelan itu dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut pihak gabenor, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha lebih besar Israel untuk mengubah kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa dan mengurangkan kehadiran Palestin di Kota Lama.

Mereka mendakwa pihak berkuasa Israel cuba menukar kawasan kejiranan sekitar menjadi ruang penjajahan tertutup yang memberi manfaat kepada peneroka serta menyekat akses rakyat Palestin dan umat Islam.

Radio Tentera Israel bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar hartanah yang disasarkan atau identiti pemiliknya. Kawasan itu mengandungi banyak hartanah bersejarah Palestin sejak era Ayyubiyah, Mamluk dan Uthmaniyyah.

Di bawah pelan berkenaan, kerajaan Israel akan memberi kuasa kepada “Jerusalem Jewish Quarter Development Company” untuk melaksanakan rampasan dan menguruskan hartanah yang dirampas.

Pakar pemetaan dan penempatan Jerusalem, Khalil Tafakji, berkata asas undang-undang keputusan itu bermula sejak 1968 apabila Israel merampas 116 dunam tanah di Kota Lama atas alasan “kepentingan awam”.

Menurut Tafakji, “Jewish Quarter” hanya meliputi lima dunam sebelum 1948, namun berkembang secara besar-besaran selepas bertahun-tahun rampasan tanah. Kini kawasan itu meliputi sekitar 130 dunam dan menempatkan kira-kira 4,500 penduduk Yahudi.

Dunam ialah unit ukuran keluasan tanah yang banyak digunakan di Asia Barat dan kawasan bekas pemerintahan Uthmaniyyah, termasuk di Palestin, Israel, Jordan dan Turki. 10 dunam = 1 hektar

Beliau berkata pihak berkuasa Israel turut memindahkan banyak hartanah daripada pemilikan persendirian Palestin kepada kawalan negara sebelum menyerahkannya kepada peneroka Israel.

Katanya lagi, Israel tidak mengusir semua penduduk Palestin yang tinggal dalam zon rampasan pada 1968. Sebahagian hartanah di bahagian hadapan masih dihuni sehingga kini. Beliau menganggarkan keputusan terbaharu itu boleh menjejaskan antara 15 hingga 20 lagi hartanah milik keluarga Palestin di Jerusalem.

Beberapa keluarga Palestin terkenal sebelum ini telah kehilangan rumah dan hartanah dalam projek peluasan “Jewish Quarter”, termasuk keluarga Nammari, Ghoneim, Bsheiti, Jaouni, Alami, Sharaf dan Burqan.

Penyelidik turut memberi amaran bahawa kawasan yang disasarkan mengandungi mercu tanda Islam dan sejarah penting dari era Mamluk dan Uthmaniyyah.

Sejarawan Jerusalem, Ihab al-Jallad, berkata Sekolah Tashtamuriyya merupakan antara institusi pendidikan bersejarah paling penting di Kota Lama. Kompleks itu pernah menempatkan bilik pengajian al-Quran, dewan pengajian agama serta makam putera Mamluk Tashtamur al-Ala’i dan anaknya Ibrahim.

Kini, sebahagian bangunan itu digunakan sebagai kedai dan rumah keluarga Palestin. Tingkat bawah bangunan berkenaan menempatkan Majlis Tertinggi Islam yang dipengerusikan Sheikh Ekrima Sabri.

Al-Jallad berkata kawasan itu juga secara sejarahnya menempatkan pasar, rumah tumpangan, tangga laluan serta wakaf kebajikan yang berkait dengan Kubah Batu dan Masjid Al-Aqsa

Bagi rakyat Palestin di Jerusalem, Bab al-Silsila bukan sekadar jalan bersejarah yang dipenuhi rumah dan kedai lama. Ia kekal menjadi pusat kehidupan agama, sosial dan ekonomi yang berkait secara langsung dengan Masjid Al-Aqsa serta pasar tradisional Kota Lama.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jalan itu turut menjadi lokasi utama perhimpunan penduduk Palestin dan jemaah yang berdepan pencerobohan peneroka Israel ke kawasan Masjid Al-Aqsa di bawah kawalan ketat polis Israel.

Penduduk bimbang pelaksanaan rancangan rampasan itu akan membawa lebih ramai peneroka haram Israel ke kawasan tersebut serta memperketat sekatan terhadap akses rakyat Palestin ke Masjid Al-Aqsa melalui langkah keselamatan Israel yang lebih ketat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img