SPRM siasat bekas menteri pernah didakwa di mahkamah, berhubung kes rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memfokuskan siasatan terhadap seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era Covid-19 berhubung dakwaan penyelewengan ketika menjadi Menteri di sebuah kementerian penting.

Difahamkan, bekas pemimpin terkenal itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu.

Siasatan yang dijalankan SPRM ketika ini membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.

Difahamkan, tindakan bekas Menteri itu berkait dengan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan, di mana SPRM telah membuka kertas siasatan hasil daripada maklumat terbaharu yang diterima daripada orang awam, meskipun beliau sudah tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan terbaharu mengenai kes itu.

Beliau turut mengesahkan, beberapa individu penting akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ya saya sahkan dan akan memanggil beberapa individu dalam siasatan itu,” katanya hari ini, lapor BH.

Sementara itu, berdasarkan laporan NST, SPRM memperoleh `maklumat perisikan baharu’ pada penghujung bulan lalu, iaitu hampir sedekad selepas penyelewengan didakwa berlaku.

Sumber berkata, selain siasatan terhadap proses pemindahan sebidang tanah milik kerajaan, SPRM juga menyiasat projek pembinaan papan iklan pengiklanan yang dilakukan kementerian itu.

Katanya, siasatan kini masih dijalankan bagi meneliti hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat.

Sumber juga berkata, siasatan awal mendapati kes ini mencecah jutaan ringgit.

“Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM sedang dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan. Suruhanjaya itu juga dijangka akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan.

“Siasatan membabitkan kepentingan awam dan menjadi punca SPRM meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

“SPRM juga percaya kes itu berpotensi membawa kepada pemulihan kerugian yang berkaitan dengan ketirisan aset dan dana awam,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img