MB Perlis baharu dijangka angkat sumpah petang ini?

ISTIADAT mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis baharu bagi menggantikan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Khamis lalu, dijangka berlangsung petang ini.

Majlis itu dijangka diadakan di Istana Arau dan Menteri Besar baharu bakal mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Antara yang disebut bakal mengangkat sumpah ialah Exco Kanan kerajaan negeri daripada Pas, Muhammad Azmir Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Turut disebut ialah ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah yang dilihat menjadi pilihan berdasarkan prestasi cemerlang sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini, lapor Harian Metro.

Selain dua nama itu, sumber memaklumkan kepada utusanmelayuplus, bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin adalah dalam kalangan tokoh profesional yang berkemungkinan dilantik sebagai Menteri Besar Perlis.

PROF Datuk Dr Kamarudin Hussin, bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) atau KUKUM

Dr Kamarudin pernah menjadi Naib Canselor Unimap, sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada tahun 2007 hingga 2016.

Tuanku Syed Sirajuddin mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan individu yang diperkenan oleh baginda untuk mentadbir kerajaan negeri seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Sekiranya pemilihan Menteri Besar itu masih berdepan jalan buntu maka diplomasi perlu dilakukan oleh pihak bertelagah dan menyerahkan kepada istana untuk menentukan siapa yang berhak menjawat jawatan Menteri Besar.

Pelantikan Menteri Besar Perlis baharu berlaku susulan peletakan jawatan Mohd Shukri yang menyatakan pengundurannya itu atas sebab masalah kesihatan.

Bagaimanapun, media sebelum ini melaporkan ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa bertemu Tuanku Syed Sirajuddin bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Berikutan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media pada Rabu lalu, mengumumkan keahlian ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img