Ubah suai motosikal dengan kos RM18,000: JPJ KL sita 65 kenderaan dalam Ops Pelbagai

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita 65 buah kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang diubah suai secara ekstrem dengan kos mencecah hingga RM18,000.

Kesemua kenderaan itu disita dalam tiga operasi berasingan Ops Pelbagai yang dijalankan anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur malam tadi.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi diadakan di Jalan Genting Sempah, Plaza Tol Gombak serta Jalan Ampang melibatkan sekitar Menara Berkembar KLCC.

Katanya, tumpuan diberikan kepada penunggang motosikal yang membawa kenderaan mereka secara berbahaya serta pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

“Dalam ketiga-tiga operasi yang tamat jam 5 pagi ini, JPJ telah memeriksa 3,244 kenderaan, mengeluarkan 811 notis saman dan menyita 65 motosikal manakala penunggang yang ditahan melibatkan remaja berusia 14 hingga 25 tahun termasuk warga asing,” katanya dalam sidang media selepas tamat operasi, di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, antara kesalahan utama yang dikesan adalah menunggang dengan aksi berbahaya seperti willy, superman dan zigzag, selain aktiviti lumba haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Operasi yang bermula serentak pada jam 10 malam tadi diadakan susulan aduan orang awam berkaitan bunyi bising dan  gangguan jalan raya yang dilakukan oleh penunggang motosikal terbabit,” katanya.

Sehingga hari ini, beliau berkata, sebanyak 1,002 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan, khususnya melibatkan pengubahsuaian ekstrem dan aktiviti tunggangan berbahaya.

Muhammad Kifli menambah, JPJ juga mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan nombor pendaftaran fancy, ekstrem dan mengelirukan dengan hukuman denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“JPJ telah membawa kes ini ke mahkamah dan hukuman minimum RM5,000 hingga RM10,000 bagi kesalahan itu telah dikenakan. Kami juga dapati sejak kebelakangan ini, banyak motosikal dan kereta menggunakan nombor fancy dan ekstrem sehingga mengelirukan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Mengulas operasi ke atas kenderaan mewah, beliau berkata Op Luxury yang dilancarkan 1 Julai lepas menyasarkan pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Setakat ini, 915 kenderaan mewah telah disita dan pemilik berkenaan sudah berada dalam radar kami dan mereka diingatkan supaya segera memperbaharui cukai jalan bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli berkata diskaun saman MADANI JPJ di bawah Program Rancakkan MADANI sebanyak 50 peratus masih berkuat kuasa hingga 30 Dis ini dan setakat ini 702,606 notis saman telah dijelaskan melibatkan kutipan bernilai RM93.51 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat 4.76 juta saman tertunggak dengan nilai melebihi RM1 bilion masih belum dilunaskan dan orang ramai digesa mengambil peluang menyelesaikan saman sebelum tempoh diskaun tamat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img