Ketua Pengarah, pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia akan didakwa Rabu ini

KETUA  Pengarah dan seorang pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan didakwa di mahkamah pada Rabu depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap kedua-dua pegawai kanan terlibat  telah dilengkapkan dan tindakan pendakwaan akan diambil dalam masa terdekat.

“Siasatan sudah selesai dan kedua-dua mereka dijangka dituduh Rabu depan, dan semua kes ini sedang kita ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM Kali Ke-6 di Kuala Lumpur  hari ini.

Pada 11 Februari lalu, Azam dilaporkan mengesahkan dua pegawai kanan jabatan kerajaan, termasuk seorang Ketua Pengarah, disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

Menurut kenyataan SPRM, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan jabatan berjumlah RM900,000 bagi tujuan peribadi.

Dalam ucapan itu beliau turut memaklumkan tujuh lagi karya seni disimpan di rumah lelong barangan mewah Christie’s dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang diusahakan untuk dikembalikan dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, ia sebagai tambahan kepada empat karya seni bernilai hampir RM800,000 yang dibeli dengan dana 1MDB diselewengkan, yang berjaya dibawa pulang sebelum ini.

“Baru-baru ini, kerajaan Malaysia diterajui SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai hampir RM800,000 ke tanah air yang dibeli dengan dana 1MDB yang diselewengkan.

“Sementara itu, tujuh lagi karya seni yang disimpan di rumah lelong barangan mewah Christie’s sedang diusahakan untuk dikembalikan dari AS.

“Pemulihan aset bermakna penjimatan kos dan menghentikan ketirisan hasil negara. Pemulihan aset juga bukan hanya soal hukuman, ia soal keadilan, pemulihan maruah pentadbiran serta memulangkan hasil untuk manfaat rakyat,” katanya

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img