MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran beliau membantu memudahkan urusan kerajaan negeri.
Katanya, kadangkala lebih mudah berurusan dengan Exco DAP berbanding dengan MCA.
Sebagai contoh, kata beliau, DAP banyak menyokong inisiatif kerajaan negeri seperti pemberian bantuan kepada penjawat awam.
“Semasa tidak ada DAP pun dalam kerajaan Pahang, kita bayar (bantuan penjawat awam) sebulan setengah gaji saja. (bila) DAP ada dalam barisan exco, bila saya kata nak beri dua bulan gaji, satu ayat pun tak dengar mereka membangkang,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau berkata, DAP sering beri sokongan dan nasihat yang baik dalam pentadbiran.
“Kadang kala mereka berikan nasihat yang baik berkenaan ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.
Wan Rosdy berkata, perbezaan ideologi politik antara Umno dan DAP tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah.
Exco Pahang kini dianggotai seorang wakil DAP iaitu ADUN Triang, Leong Yu Man dan seorang wakil PKR, ADUN Teruntum Sim Chon Siang.


