Kematian tragis suami, isteri: Datuk sedia sambung tanggungjawab pelihara tiga cucu

BAPA kepada wanita yang ditemukan meninggal dunia bersama suaminya dalam keadaan tragis di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman hari ini sanggup untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga tiga anak mendiang yang juga cucunya.

Kibin Jaya, 68, juga pada masa yang sama meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

“Biarlah pihak polis menyiasat, biar mereka lihat apakah bukti-bukti atau sebabnya.

“Buat masa ini, saya minta jangan buat apa-apa spekulasi. Kita tunggu keputusan siasatan penuh pihak polis,” katanya, lapor Suara Sarawak hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, hari ini mengesahkan seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka, awal pagi ini.

Kedua-dua mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan serius dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa lelaki, Andy Roy Anak Junran, merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebangki, manakala isterinya, Angelin Kibin, bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.

Pasangan itu meninggalkan tiga orang anak, masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.

Sementara itu Kibin memberitahu, keluarganya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut kerana bimbang ia boleh mengganggu siasatan memandangkan kes tersebut melibatkan kematian serius.

“Kita takut untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana dibimbangi menganggu siasatan memandangkan kes ini melibatkan kematian yang agak serius,” katanya.

Kibin turut memaklumkan bahawa dia kerap berkunjung ke kediaman anak dan menantunya itu, namun tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku pasangan berkenaan sebelum kejadian berlaku.

“Ada berjumpa, memang saya selalu ke rumah anak saya dan masing-masing tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img