Polis teruskan siasat lelaki fitnah Tok Batin, Jaslinda

SIASATAN terhadap seorang lelaki yang didakwa memfitnah Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh dan pendaki wanita, Jaslinda Saludin menerusi siaran langsung di TikTok akan diteruskan walaupun individu terbabit sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan akan diteruskan susulan 11 laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk sekumpulan Tok Batin berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, polis akan mengambil keterangan lelaki terbabit dalam masa terdekat selain mendapatkan pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan kandungan video yang dimuat naik.

“Kita akan ambil keterangan lelaki berkenaan dalam masa terdekat selain mendapatkan pengesahan rasmi daripada SKMM berhubung beberapa perkara termasuk isi kandungan video terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, lelaki berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi satu rakaman video susulan kontroversi membabitkan sesi siaran langsung di platform TikTok yang didakwa memfitnah Tok Batin Mohd Asmmadi dan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.

Sebelum itu, dalam siaran langsung berkenaan, lelaki terbabit didakwa membuat tuduhan bahawa Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh Tok Batin Mohd Asmmadi selama dua minggu dan mendakwa wanita itu berkemungkinan akan dikahwini sekiranya perkara tersebut tidak tular.

Sabtu lalu, Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk Kampung Lubuk selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei lalu ketika melakukan pendakian di Gunung Yong Belar yang berketinggian kira-kira 2,132 meter.

Penemuan wanita itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang mendapat perhatian ramai serta melibatkan pelbagai agensi dan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img