TIGA mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran kilang di kawasan perindustrian Kampung Olak Lempit di Banting, Kuala Langat, malam tadi.
Mayat ditemui pasukan bomba ketika proses overhaul dalam operasi memadam kebakaran yang membabitkan empat kilang di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata identiti tiga mayat itu bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
“Semasa proses overhaul, Bomba menemui tiga mangsa yang rentung di kilang A ( kilang memproses sisa minyak),” katanya hari ini.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.11 pagi dengan 80 peratus api dipadamkan.
Mukhlis berkata, dua daripada empat kilang terbakar 100 peratus adalah kilang memproses sisa minyak dan kilang bahan polimer di bangunan kelas B.
“Kita menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 10.03 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi dan tiba di tempat kejadian.
“Ketika operasi memadam malam tadi, ada letupan dan terdapat empat kilang terbabit dalam kebakaran ini.
“Kilang memproses sisa minyak dan kilang bahan polimer terbakar 100 peratus, kilang minyak terpakai terbakar lima peratus, manakala kilang keempat terbakar satu peratus,” katanya.
Operasi memadam kebakaran membabitkan lebih 70 pegawai dan anggota daripada BBP Banting dengan bantuan BBP KLIA, BBP Dengkil, BBP Cyberjaya, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Presint 7 (Putrajaya), BBP Nilai selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Serdang dan Rantau Panjang.


