PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan merampas pelbagai ubat serta produk makanan dan minuman kesihatan dari luar negara yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa, bernilai lebih RM110,000 selepas memeriksa sebuah stor di Jalan Kuantan–Sungai Lembing di Kuantan semalam.
Dalam operasi Ops Taring Landai yang dijalankan kira-kira jam 1.30 petang itu, seorang penjaga stor warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan menemukan pelbagai ubat-ubatan, produk makanan dan minuman yang dibawa masuk dari luar negara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Farmasi Malaysia.
Menurutnya, rampasan itu melibatkan 11 jenis ubat termasuk produk kesihatan bernilai RM31,973.
“Turut ditemui dan dirampas 371 kotak dan 750 karton produk minuman tenaga bernilai RM78,432.
“Nilai rampasan keseluruhan mencecah RM110,405,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Zulafendy berkata, kes ini diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut di bawah Akta Racun 1952 (Akta Racun 1952 Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik) dan Akta Makanan 1983.


