SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM menyita rumah, lot tanah, kenderaan mewah yang keseluruhan bernilai RM9.7 juta dalam siasatan kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta.
Sumber memberitahu, sitaan itu merangkumi 6 buah rumah bernilai RM6.54 juta, 1 lot tanah bernilai RM1.8 juta,2 buah kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta.
‘’ 14 akaun bank turut disita, namun nilai amaun masih dalam proses pengesahan pihak bank,’’ kata sumber tersebut.
Sumber itu berkata, individu wanita bergelar Datuk yang ditahan reman selama lima hari dibebaskan semalam dengan jaminan.
‘’Manakala individu bergelar Tan Sri yang direman sejak 22 Januari dibebaskan hari ini pukul 12 tengah hari,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan maklumat sitaan tersebut dan turut memaklumkan sehingga kini, seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
‘’SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan,’’ katanya Azam.
Azam juga menegaskan bahawa SPRM akan terus komited untuk melengkapkan siasatan yang melibatkan kepentingan awam ini dengan kadar segera.


