Pasangan beregu campuran, beregu wanita Malaysia juara Indonesia Masters

PASANGAN beregu campuran juara dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, mencipta sejarah badminton Malaysia hari ini apabila menjuarai Indonesia Masters, sekali gus menjadi pasangan beregu campuran Malaysia pertama menawan gelaran itu sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada 2010.

Pasangan ranking dunia keempat itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menewaskan gandingan Denmark yang juga pilihan ke-10 dunia, Mathias Christiansen–Alexandra Boje, dengan keputusan 15-21, 21-17, 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 56 minit di Istora Senayan, Jakarta.

Sementara itu, beregu  wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dinobatkan sebagai juara Masters Indonesia selepas gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri.

Kemenangan tanpa bertanding itu membolehkan pasangan negara meraih gelaran pertama mereka bagi musim ini.

Setakat ini, pihak penganjur belum mengeluarkan sebarang butiran lanjut mengenai punca sebenar wakil Jepun tersebut membuat keputusan menarik diri daripada pertembungan akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu.

Kejayaan di Jakarta ini pastinya menjadi pengubat duka buat Pearly dan Thinaah selepas permulaan musim yang agak perlahan.

Terdahulu, mereka tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia di laman sendiri sebelum bangkit mempamerkan peningkatan dengan mara ke separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.

Kejayaan ini meletakkan mereka sebagai beregu wanita kedua negara yang berjaya bergelar Juara Masters Indonesia, mengulangi pencapaian yang pernah dilakar oleh gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img