FOKUS
PADA Jumaat lalu penulis menerima mesej meminta waris-waris yang mempunyai ahli keluarga dikebumikan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Bedong, Kedah datang ke kawasan itu pada keesokkannya (Sabtu) untuk mencabut batu nesan-batu nesan. Alasan yang diberikan ialah kerja-kerja penambakan akan dijalankan.
Sebelum itu, waris-waris sememangnya sudah dimaklumkan bahawa aktiviti penambakan akan dimulakan pada bila-bila masa memandangkan tanah perkuburan sedia ada hampir penuh.
Dalam notis yang tertera nama Pengurusan Masjid Al-Khairiyah Bedong, dimaklumkan ‘’Segala aktiviti penambakan tanah kubur ini telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Majlis Agama Islam Kedah.’’
Walaupun sedih penduduk mematuhi arahan itu kerana proses dikatakan telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama. Malah penulis sendiri mempunyai pemahaman yang sama memandangkan kubur ibu dan anak saudara penulis akan turut terlibat.

Lanjutan itu kelam-kabut para waris mengunjungi tanah perkuburan berkenaan untuk mencabut batu nesan di kubur insan-insan kesayangan mereka dengan perasaan sebak. Bagaimanapun apabila tersebar video oleh Aktivis Zamil Ibrahim berhubung isu tersebut, mereka berasa kecewa dan kesal.
Ia memandangkan Zamil mendedahkan bahawa kerja-kerja tambak itu belum ‘’mendapat kelulusan sewajarnya daripada Pejabat Mufti Negeri Kedah’’.
Malah dalam akaun Tik Tok beliau, Zamil juga menyatakan berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh pegawai pejabat Agama Kuala Muda kepada beliau, proses untuk tambak tersebut masih perlu melalui proses yang panjang.
Akhirnya berikutan ‘kekalutan’ yang berlaku difahamkan kerja-kerja tambak tanah perkuburan itu dihentikan manakala waris-waris meletakkan kembali batu-batu nesan yang mereka cabut sebelum ini.
Bayangkan kawasan perkuburan yang sebelum ini tersusun kemas bertukar seolah-olah dilanda tanah runtuh…banyak kubur-kubur terjejas akibat tanah ditolak jentolak.
Persoalannya, kenapakah kerja-kerja tambak itu dilihat berlaku dalam keadaan tergesa-gesa? Apakah sebelum ini penduduk-penduduk atau waris-waris sudah dipanggil untuk diberi taklimat atau penerangan kenapa kerja-kerja tambak terpaksa dijalankan dan apa prosedur yang perlu dipatuhi?
Kebiasaannya kerja-kerja seumpama itu akan melibatkan banyak pihak termasuklah yang paling penting Mufti Negeri sendiri akan melawat kawasan tersebut sebelum apa-apa kerja-kerja penambakan atau penimbusan dilakukan.
Ini bukannya seperti mahu menampal jalan raya yang berlubang atau mengorek tanah untuk dipasang paip air atau kabel elektrik tetapi ini tanah perkuburan di kawasan itu terdapat jenazah-jenazah yang wajib dihormati.
Penulis faham keperluan untuk mewujudkan tanah perkuburan baru tetapi lakukan dengan cara lebih tertib bukannya hari ini bagi notis, esok cabut batu nesan, lusa kubur mahu ditambak tapi rupa-rupanya ‘belum ada kelulusan sewajarnya…’’
Penulis percaya mungkin juga benar Pejabat Agama Islam Kuala Muda dan Majlis Agama Islam Kedah telah beri kebenaran tetapi apa yang menjadi ‘kekalutan’ ialah bagaimana kebenaran itu dilaksanakan.
Sememangnya waris akan bersedih, sudah tentu waris akan berasa pilu kerana selepas ini tiada lagi pusara yang boleh dikunjungi tetapi pada masa sama mereka juga akan akur kalau benarlah penambakan itu tidak dapat dielakkan.
Penulis berharap, pihak-pihak yang terlibat tidak kiralah pihak masjid atau pejabat agama pastikanlah proses berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Lihatlah apa yang berlaku hari ini berpuluh-puluh ahli keluarga sejak petang semalam bertungkus-lumus memancak semula batu nesan yang mereka cabut sebelum ini. Kasihanilah mereka yang mungkin terpaksa meninggalkan kerja hakiki buat sementara waktu untuk menyelesaikan satu perkara yang sepatutnya boleh dielakkan.
Penulis tidak berhasrat menyalahkan sesiapa berikutan kekalutan yang berlaku namun hanya mengharapkan pejabat agama atau Majlis Agama Islam Kedah tidak akan membiarkan peristiwa seumpama itu berulang cukuplah sekali di Bedong!


