Kisah Pak Din dan MS16 hibrid baharu nanas berkualiti untuk pasaran negara

HIBRID baharu nanas MARDI yang dikenali sebagai MS16 berpotensi dikomersialkan, sekaligus mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pengusaha nanas, Rosdin Haji Napiah, 58, berkata nanas MS16 itu adalah antara varieti terbaik nanas yang pernah  beliau usahakan kerana rasanya sangat enak dan lebih manis.

Pengusaha nanas dari Sabak Bernam, Rosdin  Napiah (Pak DIn).

“MS16 mudah ditanam sebab tidak ada banyak masalah, dari segi pembajaan pun tidak banyak. Selain itu, ia sukar dijangkiti penyakit, jadi penggunaan racun serangga juga kurang. Sebab itu saya yakin MS16 sesuai ditanam dan boleh dikomersialkan.

‘’Ia kerana buahnya cantik, tahan lama dan manis, itu yang penting,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Sabak Bernam.

Beliau yang dikenali sebagai  Pak Din Nanas dalam kalangan penduduk tempatan telah menceburi bidang penanaman buah itu sejak 2019.

Sepanjang enam tahun penglibatannya, Pak Din telah menanam lebih 50,000 pokok nanas jenis MD2, yankee, SG1 dan beberapa varieti lain termasuk terbaru MS16 di atas tanah seluas  enam ekar di sekitar Sabak Bernam.

“Sebelum tanam nanas saya banyak tanam ubi kayu, tapi saya dapati tanaman nanas mampu jana pulangan lebih lumayan,’’ katanya

Pak Din turut menceritakan bagaimana beliau pada mulanya menanam tanam nanas MD2, hasil daripada jambul nanas yang dikutip di tepi jalan di Meru, Klang.

‘’Ketika itu saya  dalam perjalanan pulang dari kerja, saya kutip jambul nanas tersebut yang kemudiannya saya  tanam di kampung saya di Sabak Bernam. Saya berjaya mengutip  4,000 jambul, Alhamdulillah pendapatan saya meningkat berlipat ganda…sejak itu  saya tidak menoleh ke belakang lagi,’’ katanya.

Pak Din memberitahu, beliau diperkenalkan dengan nanas MS16 oleh pegawai MARDI dengan membeli 100 anak pokok pada majlis pelancaran nanas tersebut pada Disember 2023.

Berikutan pengalaman luasnya dalam tanaman nanas, beliau kemudian dipilih mengikuti projek perintis MARDI dan dibekalkan 1,000 pokok MS16 pada April 2024.

“Sepanjang menanam MS16, saya sentiasa berhubung dengan pihak MARDI bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar mengenai cara-cara penanaman dan penjagaan nanas. Selain itu saya juga berkongsi pengalaman di lapangan dengan pegawai MARDI bagi memberi pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Tetapi secara keseluruhannya, kualitinya memang hebat setanding dengan varieti nanas MD2 kerana nilai Brix (tahap kemanisan) nanas MS16 amat tinggi dan boleh mencecah sehingga 20 peratus, selain itu ia juga banyak ciri-ciri istimewa lain seperti teksturnya yang rangup, aroma yang baik, dan kurang rasa lidas,” katanya.

Pegawai Penyelidik MARDI, Nurul Shamimi Abdul Ghani

Sementara itu, Pegawai Penyelidik MARDI, Nurul Shamimi Abdul Ghani berkata, pengenalan hibrid nanas MS16 ini adalah sebagai satu lagi pilihan alternatif varieti baharu nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha serta  penggemar nanas di samping meningkatkan kepelbagaian sumber genetik tanaman nanas di Malaysia.

Beliau  berkata, nanas MS16 berasal daripada kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia.

‘’Kita mengharapkan hibrid nanas baharu ini berpotensi untuk pasaran segar berhasil tinggi dan toleran kepada penyakit reput teras bakteria.

“Hibrid nanas MS16 menunjukkan prestasi terbaik dari ciri saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk keperluan pengeluaran bahan tanaman dan sangat toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.

“ Selain itu keistimewaan tambahan MS16 ialah buah itu boleh disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10 darjah Celcius) dan lima hari pada suhu ambien (25 darjah Celcius) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img