PERSAINGAN menguasai teknologi digital dunia bukan lagi sekadar bergantung kepada kemampuan sesebuah negara membangunkan infrastruktur dan melahirkan tenaga pakar, sebaliknya turut ditentukan sejauh mana suara negara itu diberikan tempat dalam menetapkan dasar serta hala tuju teknologi antarabangsa.
Dalam konteks itu, usaha Malaysia mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 membawa kepentingan strategik yang lebih besar daripada sekadar mengekalkan keanggotaan dalam sebuah badan antarabangsa.
Kedudukan berkenaan membuka ruang kepada Malaysia untuk terus terlibat secara langsung dalam perbincangan dan proses membuat keputusan berkaitan masa depan telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global.
Bagi merealisasikan perkara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotentiary ITU 2026 (ITU PP-26) yang berlangsung di Doha, Qatar dari 6 hingga 11 November ini dengan misi mendapatkan sokongan negara anggota bagi pencalonan semula Malaysia.
Persidangan yang diadakan setiap empat tahun itu merupakan platform tertinggi ITU dalam menentukan dasar dan pelan strategik organisasi berkenaan bagi tempoh 2027 hingga 2030, selain memilih kepimpinan tertinggi serta 48 negara anggota Majlis ITU.
Keperluan Malaysia mengekalkan kedudukan itu semakin penting ketika dunia berdepan perubahan pesat teknologi, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, infrastruktur digital dan keperluan memperluas akses teknologi kepada masyarakat.
Ini kerana keputusan yang dibincangkan dalam platform antarabangsa seperti ITU berpotensi mempengaruhi persekitaran pembangunan teknologi sesebuah negara, termasuk aspek piawaian, keserasian sistem dan kebolehoperasian rangkaian telekomunikasi.
Justeru, ketiadaan Malaysia dalam badan pembuat keputusan itu berpotensi mengehadkan ruang negara untuk menyuarakan kepentingan serta menyumbang pandangan dalam perbincangan yang turut memberi kesan kepada pembangunan ekosistem digital domestik.
Majlis ITU yang dianggotai 48 negara berperanan sebagai badan pentadbir antara dua Persidangan Plenipotentiary, termasuk mempertimbangkan dasar telekomunikasi dan ICT, memantau pelaksanaan keputusan persidangan serta meneliti perancangan strategik, kewangan dan program kerja organisasi itu.
Bagi Malaysia, keanggotaan berkenaan juga menjadi saluran memperkukuh diplomasi digital, khususnya dalam membina kerjasama dengan negara anggota lain dan meningkatkan keterlihatan negara dalam pembangunan teknologi antarabangsa.
Penglibatan itu bukan sahaja membolehkan Malaysia berkongsi pengalaman serta kepakaran, malah membuka peluang mempengaruhi perbincangan mengenai pembangunan infrastruktur digital yang lebih inklusif dan mampan, terutama bagi negara membangun.
Malaysia bukan negara baharu dalam ITU apabila menjadi anggota organisasi itu sejak 3 Februari 1958 dan pernah menganggotai Majlis ITU selama empat penggal berturut-turut dari 1998 hingga 2014.
Negara kembali memperoleh tempat bagi penggal 2023-2026 pada Persidangan ITU PP-22 di Bucharest, Romania, sekali gus membolehkan Malaysia meneruskan penglibatan dalam proses penetapan dasar telekomunikasi global.
Hasrat mempertahankan kerusi berkenaan turut mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025, manakala keputusan supaya Fahmi mengetuai delegasi negara ke persidangan kali ini dipersetujui pada 2 September lalu.
Sepanjang persidangan di Doha, Fahmi dijadual menghadiri mesyuarat rasmi ketua delegasi, majlis pembukaan dan sesi plenari ITU pada 9 November, selain menyampaikan kenyataan dasar negara serta menyertai perbincangan tematik peringkat tinggi.
Malaysia turut merancang menganjurkan majlis makan tengah hari di lokasi persidangan sebagai platform memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara anggota, selain mengetengahkan pencapaian dan sumbangan negara sepanjang penggal 2023-2026.
Di luar agenda rasmi, Fahmi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Doha, termasuk Malaysian Association in Qatar, Malaysian Business Executive Council-Qatar serta wakil komuniti dan pelajar Malaysia.
Beliau juga dijangka menghadiri Sukan Malaysia Qatar (SUQMA) anjuran Malaysian Association of Qatar dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di Doha.





