SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Lima yang tular hilang sudah ditemukan selamat di Gelang Patah pada 13 Januari lalu.
Ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, pelajar berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran sebuah stesen minyak.
“Alhamdulillah…dia sudah ditemukan selamat,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Menurutnya, terdahulu pihaknya juga melaporkan kehilangan pelajar itu di balai polis.
Semalam, tular maklumat berkaitan kehilangan seorang pelajar sekolah berkenaan yang disebar meminta orang ramai menghubungi waris sekiranya memiliki maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, polis menerima laporan pada 13 Januari lalu.
“Orang hilang berkenaan dikesan pada hari sama dalam keadaan selamat.
“Hebahan tular adalah hebahan lama,” katanya ketika dihubungi.


