Helah klinik kecantikan salah guna Pas Lawatan Sosial terbongkar, 15 warga asing ditahan

HELAH sebuah klinik kecantikan yang menggaji warga asing menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan 15 warganegara asing dalam satu operasi dikenali sebagai “Ops Dandan” di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.

Operasi dijalankan terhadap premis berkenaan kerana disyaki beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 18 individu telah diperiksa dalam serbuan tersebut sebelum 15 warga asing ditahan membabitkan enam lelaki dan tujuh wanita warga China serta dua wanita warga Myanmar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebanyakan warga China yang ditahan ini telah menyalahguna Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja di negara ini.

“Modus operandi klinik ini adalah menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan kecantikan badan dengan menggunakan khidmat warganegara asing yang menyalahgunakan PLS untuk menjalankan prosedur kecantikan.

“Premis ini dipercayai dimiliki oleh seorang warganegara China yang turut menyalahgunakan pas imigresen dan telah beroperasi sejak kira-kira setahun lalu serta telah mengaut untung ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi turut menyita beberapa barangan termasuk pakaian seragam pekerja, telefon bimbit, komputer riba, sistem kamera litar tertutup (CCTV), lesen perniagaan serta dokumen berkaitan syarikat bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Pejabat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img