JIM serbu kedai warga asing, 13 ditahan di Sepang

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 13 warga asing yang disyaki menjalankan perniagaan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial dalam operasi khas menyasarkan premis milik warga asing di sekitar daerah Sepang, semalam.

Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya itu turut memfokuskan kesalahan berkaitan penyalahgunaan pas oleh warga asing di kawasan tumpuan mereka di sekitar Sepang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 10.20 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap enam premis perniagaan yang menjalankan aktiviti kedai runcit dan pasar raya mini.

“Hasil pemeriksaan, seramai 13 warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warga Bangladesh ditahan.

“Mereka disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja di premis-premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati kebanyakan premis terbabit dipercayai menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia, namun dioperasikan sepenuhnya oleh warga asing.

Katanya, pembayaran dalam talian di premis berkenaan juga dipercayai menggunakan kod QR yang dipautkan ke akaun bank milik warga asing yang disyaki menjadi pengendali sebenar perniagaan itu.

“Sebahagian premis turut menjual produk dan barangan khusus untuk pelanggan warga asing, terutama warga Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata, JIM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img