POLIS menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu saudara dan dua sepupunya di sebuah rumah di Putra Heights, di Subang Jaya semalam.
Ketiga-tiga mereka ditahan selepas polis menyerbu rumah itu petang semalam selepas menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian yang menimpa mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek yang merupakan ibu saudaranya berusia 49 tahun serta dua sepupu wanita dan lelaki masing-masing berusia 24 tahun dan 17 tahun.
“Kejadian dipercayai melibatkan perbuatan memukul serta penderaan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.


