POLIS Perlis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan tempatan berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks sindiket pelacuran menerusi serbuan berasingan di sebuah premis di Arau semalam.
Dalam serbuan menerusi Op Noda kira-kira jam 11.15 malam itu, dua lelaki tempatan yang disyaki menjadi dalang mempromosikan mangsa turut ditahan hasil maklumat awam dan risikan berterusan pihak berkuasa.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim mendedahkan bahawa sindiket berkenaan dikesan menggunakan platform media sosial bagi menjalankan aktiviti haram tersebut.
“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki berkenaan yang disyaki menjalankan promosi aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi MiChat dan mengeksploitasi mangsa secara seksual.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hashim, suspek turut berdepan siasatan di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun beserta sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Beliau turut menggesa masyarakat agar terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam membanteras jenayah terancang serta pemerdagangan manusia.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menghargai setiap maklumat yang disalurkan. Oleh itu, kita memohon kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tegas beliau.





