SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat 19 sebuah kondominium di Batu Caves, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum pasukan polis bersama petugas perubatan Hospital Selayang bergegas ke lokasi.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, konsisten dengan impak jatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Ridzuan Alang di talian 019-449 2685 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.


